Cara Kira BMI (Indeks Jisim Badan) Ikut Julat Malaysia
Dikemas kini · Jadual rujukan: CPG Pengurusan Obesiti, Edisi Kedua (2023)
BMI = berat (kg) ÷ [tinggi (m) × tinggi (m)]
Contoh: berat 70 kg, tinggi 170 cm. Tukar tinggi ke meter (1.70), kira 1.70 × 1.70 = 2.89, kemudian 70 ÷ 2.89 = 24.2.
Bagi orang dewasa di Malaysia, BMI normal ialah 18.5 hingga 22.9, ikut garis panduan klinikal KKM tentang obesiti (CPG 2023). Jadi 24.2 tadi dah masuk kategori berlebihan berat badan (CPG panggil pra-obes), walaupun jadual WHO masih kira normal.
Kalkulator BMI Malaysia
Masukkan berat dan tinggi. Keputusan ikut jadual CPG Malaysia dulu, kemudian WHO.
BMI anda
0.0 kg/m²
Kategori ikut CPG Malaysia 2023
Ikut jadual WHO: . Kenapa boleh berbeza?
Julat berat sihat untuk tinggi cm: (BMI 18.5–22.9). Lihat jadual berat ideal
Kategori dewasa tak terpakai bawah umur 18. BMI kanak-kanak dan remaja dibaca pada carta BMI mengikut umur WHO, ikut umur dan jantina. Nombor di atas yang anda perlukan untuk carta itu.
Untuk anak bawah 5 tahun, bawa Buku Rekod Kesihatan Kanak-kanak ke klinik kesihatan.
Ini alat saringan, bukan diagnosis. Baca penafian.
Formula BMI dan cara kira sendiri
Tak ada kalkulator? Kiraan BMI boleh buat sendiri, tiga langkah saja. Kita guna contoh yang sama: 70 kg, 170 cm.
- Tukar tinggi dari cm ke meter. Bahagi dengan 100.
170 ÷ 100 = 1.70 m - Darab tinggi dalam meter dengan nombor yang sama. Itulah maksud "tinggi kuasa dua" dalam formula.
1.70 × 1.70 = 2.89 - Bahagi berat dengan jawapan langkah 2, dan bundarkan ke satu titik perpuluhan.
70 ÷ 2.89 = 24.22, jadi BMI 24.2
Unit BMI ialah kg/m², tapi orang biasanya sebut nombornya saja. Cara pengiraan ini sama dalam CPG KKM, fact sheet WHO dan panduan BMI sekolah KPM.
Cara kira BMI guna kalkulator telefon
Cara paling laju ialah bahagi dua kali dengan tinggi dalam meter. Tak perlu tekan kurungan.
70÷1.7÷1.7=24.2214…
Ambil satu titik perpuluhan: 24.2. Kalau digit kedua selepas titik ialah 5 ke atas, bundarkan naik (22.95 jadi 23.0).
Hati-hati dengan unit. Kalau anda taip 170 terus dalam langkah tadi (70 ÷ 170 ÷ 170), jawapannya jadi 0.0024 sebab tinggi masih dalam cm. Tukar ke meter dulu: 1.7.
Kategori BMI orang dewasa di Malaysia
BMI normal untuk orang dewasa Malaysia ialah 18.5 hingga 22.9. Mulai 23.0 dah dikira berlebihan berat badan, dan mulai 27.5 dah obes. Ini Jadual 2-1 dari CPG, disalin bulat-bulat dalam bahasa asalnya:
| Classification | BMI (kg/m²) | Risk of comorbidities |
|---|---|---|
| Underweight | <18.5 | Low, but with increased risk of other clinical problems |
| Normal | 18.5–22.9 | Optimal |
| Pre-obese (Overweight) | 23.0–27.4 | Increased |
| Obese I | 27.5–32.4 | High |
| Obese II | 32.5–37.4 | Very high |
| Obese III | ≥37.5 | Extremely high |
Sumber: Clinical Practice Guidelines Management of Obesity (Second Edition) 2023, Jadual 2-1, m/s 24. © Malaysia Health Technology Assessment Section (MaHTAS), Kementerian Kesihatan Malaysia. Jadual disalin tanpa pindaan.
Terjemahan kami (bukan sebahagian daripada CPG)
- Underweight: Kurang berat badanRisiko: rendah, tetapi risiko masalah klinikal lain meningkat
- Normal: NormalRisiko: optimum
- Pre-obese (Overweight): Pra-obes (berlebihan berat badan)Risiko: meningkat
- Obese I: Obes IRisiko: tinggi
- Obese II: Obes IIRisiko: sangat tinggi
- Obese III: Obes IIIRisiko: amat tinggi
Satu perkara kecil kalau anda baca CPG sendiri: dalam senarai cadangan utamanya (m/s 13) dan dalam Quick Reference Guide, obesiti ditulis ">27.5". Tapi Jadual 2-1 dalam dokumen yang sama, dan NHMS 2024 (Jadual 2.14), kira 27.5 ke atas sebagai obes. Kalkulator ini ikut Jadual 2-1, jadi BMI 27.5 tepat dah masuk Obes I.
Kenapa BMI 23 dah dikira berlebihan untuk orang Asia
Sebab pada BMI yang sama, orang Asia biasanya ada peratus lemak badan yang lebih tinggi berbanding orang Kaukasia (keturunan Eropah). Risiko diabetes jenis 2, darah tinggi dan penyakit kardiovaskular pun mula naik pada BMI yang lebih rendah. Itu penerangan CPG sendiri (m/s 23).
Angka 23, 27.5, 32.5 dan 37.5 asalnya dari panel pakar WHO yang mengkaji BMI untuk orang Asia (The Lancet, 2004). Panel itu dapati ramai orang Asia dah berisiko tinggi untuk diabetes jenis 2 dan penyakit kardiovaskular walaupun BMI belum sampai 25. Tapi tak ada satu garis yang kena untuk semua orang Asia. Risiko mula naik di mana-mana antara BMI 22 hingga 25, bergantung pada populasi.
Jadi panel itu kekalkan 25 dan 30 sebagai klasifikasi antarabangsa. Empat angka tadi dicadangkan sebagai garis tambahan untuk tindakan kesihatan awam, dan panel itu beri cara untuk setiap negara tentukan sendiri had risiko bagi penduduknya. Jadual CPG Malaysia guna keempat-empat garis itu. Dari situlah wujudnya dua jadual.
Julat BMI Malaysia vs julat WHO
Nombor BMI anda tak berubah. Yang berubah cuma labelnya, sebab garis setiap kategori dilukis di tempat lain.
| Kategori | CPG Malaysia 2023 | WHO (antarabangsa) |
|---|---|---|
| Kurang berat badan | bawah 18.5 | bawah 18.5 |
| Normal | 18.5–22.9 | 18.5–24.9 |
| Pra-obes / overweight | 23.0–27.4 | 25.0–29.9 |
| Obes I | 27.5–32.4 | 30.0–34.9 |
| Obes II | 32.5–37.4 | 35.0–39.9 |
| Obes III | 37.5 ke atas | 40.0 ke atas |
Julat WHO dari WHO Technical Report Series 894 (2000), Jadual 2.1. WHO mencetaknya dengan dua titik perpuluhan, contohnya 18.50–24.99.
Contoh 60 kg dan 160 cm: BMI 23.4. Ikut jadual Malaysia, dah berlebihan berat badan. Ikut WHO, masih normal. Dua-dua jawapan betul ikut jadual masing-masing. Tapi CPG ialah garis panduan KKM untuk doktor dan petugas kesihatan di Malaysia, jadi kalkulator ini tunjuk jawapan CPG dulu.
Kenapa laman lain tunjuk BMI normal 18.5–24.9?
Banyak BMI calculator dalam talian dibina untuk pengguna seluruh dunia, jadi ia pakai klasifikasi WHO. Ada juga halaman kesihatan tempatan yang masih guna julat itu, contohnya halaman penjagaan berat badan Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur & Putrajaya, yang tulis normal sebagai 18.5 hingga kurang daripada 25 semasa kami semak pada September 2026.
Beza dua jadual ni bukan sikit. NHMS 2024 (Pemakanan), Jilid II kira data orang dewasa yang sama dengan kedua-dua jadual, dan hasilnya lain terus:
obes, dan 30.5% berlebihan berat badan
obes, dan 32.1% berlebihan berat badan
Orang dewasa 18 tahun ke atas. NHMS 2024 Jilid II (Disember 2025), Jadual 2.10, 2.11, 2.13 dan 2.14.
BMI lelaki dan perempuan: formulanya sama
Tiada formula BMI khas untuk perempuan atau lelaki, dan jadual Malaysia cuma ada satu untuk semua orang dewasa. Jadi cara kira BMI perempuan sama saja dengan lelaki. Dua contoh:
Contoh BMI perempuan
Tinggi 155 cm, berat 55 kg.
1.55 × 1.55 = 2.4025
55 ÷ 2.4025 = 22.89 → 22.9
Normal ikut kedua-dua jadual. Tapi ini betul-betul di hujung julat normal Malaysia. Tambah 0.2 kg lagi, BMI dah jadi 23.0.
Contoh BMI lelaki
Tinggi 175 cm, berat 80 kg.
1.75 × 1.75 = 3.0625
80 ÷ 3.0625 = 26.12 → 26.1
Berlebihan berat badan ikut jadual Malaysia, dan WHO pun kira 26.1 sebagai overweight (25.0–29.9). Berat normal untuk 175 cm ialah 56.7–70.1 kg.
Yang beza antara lelaki dan perempuan: lilitan pinggang
Di sini barulah jantina diambil kira. BMI tak tunjuk di mana lemak terkumpul, jadi garis panduan KKM saring dengan ukuran pinggang sekali. Hadnya lebih rendah daripada had WHO, sebab kajian di negara Asia dapati diabetes jenis 2 dan penyakit kardiovaskular dah tinggi pada ukuran ini.
| Jantina | Had Asia (dipakai CPG dan NHMS) | Had WHO antarabangsa |
|---|---|---|
| Lelaki | 90 cm ke atas | 102 cm ke atas |
| Perempuan | 80 cm ke atas | 88 cm ke atas |
NHMS 2024 menyebut had 90/80 cm sebagai kriteria WHO Pasifik Barat, IASO dan IOTF (2000). Had 102/88 cm ialah saranan WHO yang dipetik dalam CPG (m/s 26).
NHMS panggil keadaan ini obesiti abdomen. Dalam NHMS 2024, 52.1% orang dewasa Malaysia ada ukuran pinggang 90 cm ke atas (lelaki) atau 80 cm ke atas (perempuan).
Cara ukur lilitan pinggang
- Cari tulang rusuk paling bawah di sisi badan.
- Cari puncak tulang pinggul, bahagian tulang yang terasa bila anda bercekak pinggang.
- Lilit pita pengukur di titik tengah antara kedua-duanya, mendatar sekeliling badan. Titik ini tak semestinya sama dengan paras pusat.
Ukuran pinggang paling berguna bila BMI masih dalam julat normal atau berlebihan berat badan. Kalau BMI dah lebih 35, tak payah ukur pinggang lagi, sebab pada tahap tu ukuran pinggang dah tak membantu meramal risiko (CPG, m/s 25).
Cara kira BMI kanak-kanak dan remaja (bawah 18 tahun)
Kiraannya macam orang dewasa juga: berat ÷ tinggi ÷ tinggi. Yang lain ialah cara membaca jawapan. Untuk bawah 18 tahun, BMI anak dibandingkan dengan kanak-kanak lain yang sama umur dan jantina, guna carta BMI mengikut umur WHO (BMI-for-age). Itu yang disarankan CPG (m/s 15). Julat dewasa 18.5 hingga 22.9 tak terpakai.
Sebab itulah kalkulator di atas hanya beri nombor BMI bila anda pilih "Bawah 18 tahun", tanpa kategori. Laman ini anggap umur 18 tahun ke atas sebagai dewasa, sama seperti NHMS.
BMI kanak-kanak mengikut umur: kenapa jadual dewasa tak boleh pakai
BMI kanak-kanak memang berubah bila mereka membesar. Ia naik dari lahir hingga umur setahun, kemudian turun sehingga sekitar umur 5 hingga 9 tahun sebelum naik semula (CPG, m/s 66). Kalau kenaikan semula ini berlaku awal, sebelum umur 5 tahun, risiko obesiti bila dewasa lebih tinggi.
Jadi nombor BMI yang sama boleh jadi normal pada satu umur dan berlebihan pada umur lain.
Had BMI kanak-kanak yang dipakai di Malaysia
| Umur dan rujukan WHO | Berlebihan berat badan | Obes |
|---|---|---|
| 5–19 tahun Rujukan Pertumbuhan WHO (2007) | lebih +1 SD | lebih +2 SD |
| Bawah 5 tahun Piawaian Pertumbuhan Kanak-kanak WHO | lebih +2 SD | lebih +3 SD |
Sumber: CPG Pengurusan Obesiti 2023, Jadual 5-1 (m/s 67).
SD (sisihan piawai) menunjukkan sejauh mana BMI anak berbeza daripada median, iaitu nilai tengah bagi kanak-kanak yang sama umur dan jantina. Untuk 5–19 tahun, WHO takrifkan kurus sebagai bawah −2 SD dan sangat kurus bawah −3 SD. Pada umur 19, garis +1 SD bersamaan BMI 25 dan garis +2 SD bersamaan BMI 30, iaitu had dewasa WHO.
Ujian BMI murid sekolah (BMI 5-9T)
KPM ada panduan sendiri untuk murid berumur lima hingga sembilan tahun: Panduan Standard Pengukuran BMI untuk Murid Sekolah Malaysia (BMI 5-9T), terbitan 2021. Di sekolah, guru yang ukur tinggi dan timbang murid. Datanya direkod dalam borang BMI 5-9T dan sistem dalam talian, kemudian keputusan dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga.
Keputusan murid dibaca pada jadual norma ikut umur dan jantina berdasarkan rujukan WHO (2007), dengan empat label: Kurus, Berat Badan Normal, Berlebihan Berat Badan dan Obes. Ada juga norma khas untuk murid berkeperluan khas (MBK), contohnya murid cerebral palsy. Kami tak salin jadual norma itu di sini sebab hak ciptanya terpelihara, jadi rujuk PDF asal.
Cara kira BMI bayi dan anak bawah 5 tahun
Formulanya boleh dipakai, tapi jawapannya tak boleh dibaca pada jadual dewasa atau jadual 5–19 tahun. Bawah 5 tahun ada garis SD sendiri (lebih +2 SD untuk berlebihan berat badan, lebih +3 SD untuk obes) pada Piawaian Pertumbuhan Kanak-kanak WHO. Cara paling senang: bawa Buku Rekod Kesihatan Kanak-kanak setiap kali ke klinik kesihatan, dan minta doktor atau jururawat terangkan carta tumbesaran anak.
Bila BMI boleh mengelirukan
BMI cuma bandingkan berat dengan tinggi. Ia tak tahu sama ada berat itu otot atau lemak, dan tak tahu di mana lemak terkumpul. CPG sendiri senaraikan kelemahan ni (m/s 24). Fact sheet WHO tentang obesiti pula sebut BMI sebagai penanda tidak langsung (surrogate marker) bagi lemak badan, dan ukuran tambahan seperti lilitan pinggang boleh membantu diagnosis obesiti.
- Orang yang berotot
- Atlet atau orang yang rajin angkat berat di gim boleh dapat BMI dalam kategori pra-obes walaupun lemak badannya rendah.
- Warga emas
- Otot susut dengan umur (sarkopenia) dan peratus lemak naik. Jadi BMI boleh nampak elok walaupun lemak badan tinggi.
- Ibu mengandung, gangguan makan, atau keadaan yang menjejaskan ketinggian
- NHS nasihatkan kalkulator BMI dewasa tak dipakai dalam keadaan ni. Ikut nasihat doktor atau jururawat yang merawat anda.
Soalan lazim tentang BMI
BMI 25 normal tak untuk orang Malaysia?
Tak, sama ada ikut jadual Malaysia atau WHO. Ikut jadual Malaysia, 25.0 dah masuk berlebihan berat badan (23.0–27.4). Ikut WHO pula, 25.0 ialah titik mula overweight.
BMI 23 okay tak?
Untuk orang dewasa Malaysia, 23.0 dah terkeluar dari julat normal. Ia titik mula kategori berlebihan berat badan (pra-obes) dalam jadual Malaysia.
Itu bukan diagnosis. Tapi CPG anggap BMI 23 ke atas, atau pinggang 90 cm ke atas (lelaki) dan 80 cm ke atas (perempuan), sebagai tanda untuk saringan lanjut penyakit yang berkait dengan obesiti, seperti diabetes jenis 2 dan darah tinggi. Had pinggang itu terpakai walaupun BMI anda bawah 23.
Berapa BMI ideal?
Tak ada satu nombor yang ideal, yang ada julat. Untuk orang dewasa di Malaysia, julatnya 18.5 hingga 22.9. Dalam jadual CPG, cuma kategori ini yang tahap risikonya ditulis "Optimal". Nak tahu dalam kilogram? Semak jadual berat badan ideal ikut tinggi.
Apa maksud BMI?
BMI ialah singkatan body mass index, atau indeks jisim badan (ada juga yang tulis indeks jisim tubuh). Nilainya berat dibahagi tinggi kuasa dua, dalam unit kg/m². Doktor guna BMI untuk saringan awal berat badan, bukan untuk mengukur lemak secara terus.
Berapa kerap patut semak BMI?
Setahun sekali untuk orang dewasa. Saringan tahunan dalam garis panduan KKM pakai dua ukuran: BMI dan lilitan pinggang.
Berapa ramai orang dewasa Malaysia berlebihan berat badan?
Hampir 7 daripada 10, jika dikira dengan had Malaysia: NHMS 2024 melaporkan 32.1% berlebihan berat badan dan 37.8% obes. Dengan had WHO, 53.6% (30.5% overweight dan 23.1% obes). Obesiti abdomen pula 52.1%.
Sumber rujukan
Had, jadual dan statistik di halaman ini datang terus dari dokumen di bawah. Kami buka dan semak setiap satu pada 23 September 2026. Contoh kiraan pula kami kira sendiri dengan formula yang sama.
- MaHTAS, Kementerian Kesihatan Malaysia. Clinical Practice Guidelines: Management of Obesity (Second Edition). Mei 2023, MOH/P/PAK/504.22(GU)-e. Jadual 2-1 (m/s 24), cadangan utama (m/s 13), bahagian 2.1–2.2 (m/s 23), lilitan pinggang (m/s 24–26), kanak-kanak (m/s 15, 66–67). PDF di portal KKM · salinan di laman MEMS
- Kementerian Kesihatan Malaysia, bersama Malaysia Endocrine & Metabolic Society (MEMS), Malaysian Association for the Study of Obesity, Malaysian Dietitians' Association dan Family Medicine Specialists Association of Malaysia. Clinical Practice Guidelines Management of Obesity (2nd Edition, 2023): Quick Reference Guide for Healthcare Professionals, Mei 2023. PDF di laman MEMS
- WHO Expert Consultation. Appropriate body-mass index for Asian populations and its implications for policy and intervention strategies. The Lancet 2004;363:157–63. Abstrak di PubMed
- WHO. Obesity: preventing and managing the global epidemic, Technical Report Series 894, 2000, Jadual 2.1. Laporan di WHO IRIS
- WHO. Obesity and overweight, fact sheet dikemas kini 8 Disember 2025. who.int
- WHO. BMI-for-age (5–19 years), Growth reference data. Jadual dan carta WHO
- Institut Kesihatan Umum, KKM. NHMS 2024: Nutrition, Volume II: Findings, Disember 2025. Jadual 2.10, 2.11, 2.13, 2.14 dan 2.15. PDF Jilid II
- Kementerian Pendidikan Malaysia. Panduan Standard Pengukuran Indeks Jisim Badan untuk Murid Sekolah Malaysia Berumur Lima hingga Sembilan Tahun (BMI 5-9T), 2021. PDF di laman KPM
- NHS. Calculate your body mass index (BMI) for adults. nhs.uk
BMI ni alat saringan, bukan diagnosis. Kalau keputusan anda tak kena dengan keadaan badan, atau anda risau tentang berat badan sendiri atau anak, bincang dengan doktor. Baca penafian penuh.